MELAKA 21 Mei - Orang Melayu khususnya generasi muda diminta supaya terus menyokong UMNO kerana parti yang dibentuk pada tahun 1946 itu masih relevan kepada bangsa Melayu hari ini. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, selepas 62 tahun parti itu bertapak di negara ini dan walaupun para pemimpinnya silih berganti, nyata hanya UMNO mampu membela nasib dan kepentingan orang Melayu. Justeru kata beliau, perjuangan UMNO untuk memartabatkan orang Melayu perlu diteruskan dengan memperbanyakkan keahlian UMNO di seluruh negara. ''Dengan keahlian yang ramai saja UMNO akan terus kukuh dan tidak mudah goyah walaupun dilanda pelbagai dugaan," kata Ketua Menteri Melaka itu. Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan borang keahlian baru UMNO Bahagian Bukit Katil di sini semalam. Mohd. Ali yang juga Pengerusi Biro Keahlian UMNO Malaysia berkata, kempen menambah ahli melalui "Keluargaku Ahli UMNO" terutama mereka yang berumur di bawah 25 tahun dilihat sebagai pemangkin terbaik untuk menambah keahlian UMNO yang kini mencecah 3.4 juta ahli. ''Adalah memadai jika setiap cawangan dapat menambah sekurang-kurangnya 20 ahli baru di cawangan masing-masing," katanya. Sebagai contoh kata beliau, UMNO Bahagian Bukit Katil yang mempunyai 67 cawangan berjaya menambah keahlian baru seramai 972 ahli daripada sasaran 1,340 ahli. Jumlah itu katanya, dijangka menjadi kenyataan apabila kempen menambah ahli baru di peringkat negeri berakhir pada 25 Mei ini. UMNO Melaka kini mempunyai 128,000 ahli dengan 385 cawangan di seluruh negeri. Mohd. Ali berkata, keahlian baru terutama generasi muda sudah tentu akan memperkuatkan parti dan ia sekali gus menjamin kelangsungan hidup UMNO pada masa depan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment